Selasa, 3 Mei 2011

Kajian: Peranan kepahlawanan Bajau Bangingi’ dalam Kegemilangan Kesultanan Sulu
Dari Penulis
Kepahlawanan Bajau Bangingi
Hari ini bila kita menyebut Bajau Bangingi’ ia mungkin membawa makna yang tertanam dalam fikiran dan diri kaum Tausug sendiri yang begitu mengecewakan. Kaum ini dianggap seperti satu kaum “hamba abdi” pada para kaum Tausug atau Suluk yang bertugas untuk mereka dan tanpa pengetahuan terhadap sejarah. Para Tausug sendiri tidak mengetahui peranan Bajau Bangingi ini dengan butanya hati mereka tidak mengetahui fakta sejarah peranan Bajau Bangingi membantu menggemilangkan Kesultanan Sulu dahulu. Hal ini sepatutnya di ketahui oleh orang Tausug sendiri agar tidak berlakunya pengdiskriminasian dan pemandangan rendah terhadap kaum yang di gelar “perompak laut?” ini.

Penghamba-abdian (slavery) sepertimana yang di ketahui oleh orang Amerika sebenarya tidak wujud dalam perbendaharaan kata di Kesultanan Sulu, cuma yang ada ialah pengikut (follower) yang bertugas untuk Kesultanan Sulu sebagai tentera laut, para Sultan Sulu dan para Datu Tausug. Tetapi kita tidak boleh menafikan berlakunya aktivity penculikan (abduction) oleh kaum Bajau Bangingi’ dan kaum Iranun ini kepada orang-orang asing yang menceroboh ke kawasan perairan kepulauan Sulu dan Mindanao untuk di jual ke Negara jiran.

Dan terjadi juga perampasan barang-barang dagangan Spanyol yang cuba di seludup ke daerah Jambangan (Zamboanga), satu daripada wilayah Kesultanan Sulu yang majoritinya di huni oleh para kaum dan Datu Bajau Bangingi’. Kaum Chavacano yang di kenali hari di Zamboanga adalah “Orang Bebas atau Merdicans” yang di bawa dari Ternate dan Tidore untuk menolong Spanyol menentang pahlawan-pahlawan Sulu. Tetapi gagal!

Hal ini bukanlah semata-mata untuk merompak, menculik dan merampas harta benda dan orangnya sekali, di jual untuk di jadikan hamba abdi tanpa alasan yang munasabah. Ini adalah mengawal keselamatan dan mempertahankan kedaulatan Negara, Bangsa dan Agama dari pencerobohan Spanyol dan lain-lain yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan Negara. Sepertimana yang di lakukan oleh para tentera laut Malaysia, Philippines, Indonesia, Brunei dan Singapore masa kini. Bajau Bangingi’ ialah satu kaum bersama kaum Iranun yang di gelar sebagai “perompak laut” oleh Spanyol yang beroperasi di pesisiran Laut Sulu, Laut Celebes dan Laut China Selatan untuk mencari, menangkap dan menjaga penceroboh pantai-pantai wilayah Kesultanan Sulu untuk di jual ke Makkasar dan Melaka. Ramai yang tidak mengetahui bahawa kedua-dua kaum ini, Bajau Bangingi’ dan Iranun adalah sabahagian daripada pegawai-pegawai Kesultanan Sulu dan Maguindanao. 

Sebenarnya, Spanyol telah membohong dalam catatan sejarah mereka menggelar kaum-kaum ini sebagai “vagamundo” yang bermaksud “tidak mematuhi undang-undang” atau “penjenayah” kerana Spanyol takut, sebab kaum ini lah yang menghalang kapal mereka memasuki perairan Kepulauan Sulu untuk menindas rakyat-rakyat Sulu selain menyeludup.

Kaum ini adalah satu daripada pelayar yang terbaik sehinggakan kapal Spanyol tidak dapat menumpas kapal layar mereka yang di kenali sebagai Juangga atau Lanung yang di ketua oleh kaum Tausug. Kita harus mengetahui bahawa kaum Bajau Bangingi’ adalah “Pahlawan Laut” yang rapat hubunganya dengan kaum Tausug yang juga di kenali sebagai “Pahlawan Darat.” Kaum Bajau Bangingi ini kalau di zaman sekarang adalah tentera laut atau Navy dengan gelaranya “jaga laud” dalam Bahasa Sug (Tausug) atau “penjaga laut” dalam Bahasa Malaysia.

Sebelum kita meneruskan perbincangan khusus terhadap Bajau Bangingi’ ini kita sembar semula mengapa kaum ini begitu rapat dengan kaum Iranun dan sama-sama dan seiring belayar di perairan Sulu dan Mindanao. Iranun atau Ilanun bermula daripada teluk Illana (Ilyana) yang bermaksud “orang yang tinggal di pesisiran teluk Illana”, sepertimana pribumi Sulu, yang di kenali sebagai Buranun “orang yang tinggal di pergunungan Sulu.”

Iranun ialah tentera laut Diraja Kesultanan Maguindanao dan Bajau Bangingi’ pula tentera laut Diraja Kesultanan Sulu. Tetapi kaum Iranun juga serta mempertahankan Kesultanan Sulu sebab kedua-dua kesultanan ini ada kaitan darah dari Sultan Sulu Syariful Hashim Sayyid Abubakar dengan Sultan Maguindanao Syarif Kubungsuhan dan Sultan Maguindanao Dipatuan Kudarat Ali telah berkahwin dengan Putri Sultan Sulu Mawallil Wasit atau Raja Bungsu I ia itu Pangiyan Ampay atau Sitti Kabira. Dan akhir sekali kaum Bajau Bangingi’ dan kaum Iranun ini sering bertemu di kawasan laut semasa melalukan dan menunaikan aktivity pengawalan.

Bahasa Bajau Bangingi’ ialah bahasa perantaran atau lingua franca para kaum Bajau yang lain selain Bahasa Sug. Kaum Bajau Pangutaran, Bajau Sama dan lain-lain boleh bertutur bahasa Bajau Bangingi di sebaliknya kaum Bajau Bangingi’ tidak begitu faham akan bahasa atau dialek kaum Bajau yang lain. Maka itu, kita boleh mengatakan bahawa Bahasa Bajau Bangingi’ lah asal dialek dan bahasa kaum Bajau yang lain. Cuma sudah berevolusi pada beberapa jenis slanga yang tersendiri berdasarkan factor budaya dan penempatan. Seperti Bahasa Sug sebagai lingua franca yang boleh di tutur oleh semua kaum Bajau yang berada di kepulauan Sulu dan sebahagian di Sabah. Tausug pula tidak boleh bertutur bahasa Bajau, cuma memahami sedikit sahaja. Dia antara kuam Bajau, Bajau Bangingi’ lah yang fasih bertutur Bahasa Sug, di sebabkan dengan rapatnya hubungan mereka dengan kaum Tausug dulu hingga kini.

Datu Bajau Bangingi’ juga yang menjaga kaum Bajau yang lain yang bertugas sebagai penyelam mutiara di pulau-pulau Sulu seperti di Marunggas, Selat Parang dan Maimbung, Tapul-Lugus, Siasi, Patian, Kabingaan, Laminusa dan di kawasan pulau Pilas termasuk lah pulau Bangingi’ yang kini di ketahui sebagai pulau Tungkil untuk mendapatkan mutiara yang indah. Mutiara-mutiara ini akan diberikan oleh para penyelam kepada Datu Bajau Bangingi’ sebagai peraih untuk di jual pula kepada Datu Tausug atau lebih di kenali sebagai Ulangkaya(Orang Kaya).

Kemudian para Datu Tausug pula akan hadiahkan Sultan Sulu dan ahli-ahli Ruma Bichara (Dewan Negara) Kesultanan Sulu sebahagian daripada hasil selaman itu. Di mana ada aktivity penyelaman mutiara, di situ lah penempatan majority Bajau Bangingi’ dan pengikut mereka. Hinggakan mereka di gelar oleh orang Eropah di laman web www.jewelstones.org sebagai satu daripada penyelam termahir dan cemerlang di dunia dan penyelam tempatan terbaik. Sebab aktivity ini lah Bajau Bangingi” di gelar sebagai pembela perairan Sulu (defenders of the sea) hinggakan Spanyol tidak boleh masuk ke Tanah Besar Sulu, khususnya di ibu kota bernama Jolo.

Untuk memperkukuhkan lagi peranan Bajau Bangingi’ ini pada kegemilangan Kesultanan Sulu kita imbas semula perwira Sulu, dua saudara Sangkalan dan Angging dari kaum Bajau Bangingi’ besertakan 800 perwira-perwira yang handal di bawah naungan kaum Tausug bernama Panglima Ilidji sebagai ketua yang di arahkan ke Brunei oleh Sultan Sulu menolong mendamaikan perang saudara di sana yang berlangsung selama sepuluh tahun. Dari sini lah North Borneo (Sabah) dimasukkan ke salah satu wilayah Kesultanan Sulu di tahun 1704. Kaum Bajau Bangingi juga serta dalam serangan terhadap penempatan Spanyol di Visayas khususnya di Panay, Mindoro dan Camarines yang menyerbu wilayah Kesultanan Sulu di Jambangan (Zamboanga). Encik James Dunnigan menggambarkan di artikelnya “Tropical Vikings” pada 17 Mac 2003 bahawa, “Orang Tausug adalah seperti Vikings, mereka pahlawan yang ganas, tiba-tiba muncul dari laut tanpa di duga dengan kapal layar mereka yang pantas…mereka empunya versi Viking yang tersendiri, seperti juramentado (berani mati)…antara kaum Moro (Muslimin) yang paling bengis ialah Tausug.” Encik James Dunnigan telah menyebut “pahlawan yang ganas, tiba-tiba muncul dari laut tanpa di duga dengan kapal layar mereka yang pantas” membawa maksud kaum Tausug besertakan dan bersama-sama kaum Bajau Bangingi’ dan Iranun dalam serangan itu.

Kubu pertahan Bajau Bangingi’ di Sipak, pulau Bangingi kini Tungkil, Sulu ialah yang paling kukuh sukar di cerobohi. Bajau Bangingi’ bukan hanya “Penjaga Laut” kepada Laut Sulu atau perairan Sulu tetapi juga bertugas sebagai “Anggota Pertahanan Negara” Kesultanan Sulu. Dari sebab ini kerabat Diraja Sulu dan para Sultanya banyak terhutang budi pada Bajau Bangingi’ yang kurang di ketahui oleh para kaum Tausug hari ini. Jadi boleh ka kita menggelar kaum ini sebagai perompak, perampas dan sebagainya atau mengasingkanya seolah-olah kaum yang kotor dan hina? Kepada kaum Bajau Bangingi’, sepatutnya tidak lagi bersifat rendah diri sebab kaum Tausug adalah kerabat kamu yang sampai bila-bila tidak akan meninggalkan kamu walaupun di medan perang.

Kaum Tausug dan kaum lain yang berada di Sabah mahupun di kepulauan Sulu dan di mana-mana sahaja di pelusuk dunia ini semestinya berterima kasih pada kaum Bajau Bangingi’ serta Iranun kerana kegigihan mereka turut serta mempertahankan maruah Kesultanan Sulu. Oleh itu haruslah kita bersatu kembali sebagai satu Bangsa Sulu yang berdaulat di bawah payung kerajaan Kesultanan Sulu dan Agama Islam dengan tidak lagi memandang sesebuah kaum sebagai orang lain. Jasa dan budi kaum Bajau Bangingi’, Iranun dan kaum lain di Sulu dan Sabah patut di sanjung dan di kenang dengan tidak menyengkir mereka dari masyarakat dan sebagai rakyat Kesultanan Sulu yang banyak bertaruh nyawa demi Bangsa, Negara dan Agama!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan