Ahad, 15 Mei 2011

Bajau Di Bumi Borneo:
Antara Bajau Semporna
Dan Bajau Kota Belud
Serumpun Satu Suku Satu Bangsa Yang Hebat
'Bangsa Yang Pernah Mewarnai Satu Bangsa
Di Nusantara' 
Dari Penulis
Penulis Sarjana Barat telah berkata:
'Bangsa Bajau merupakan bangsa begitu terkenal dalam dunia pelayaran dan kepakaran mereka menunggang kuda cukup  baik tiada tolok bandingnya di Bumi Nusantara, dari merekalah ramai muncul seorang pemimpin perang, Panglima, Penghulu, Ulama dan amat ditakuti oleh perintah British, Belanda, Jepun, Sepanyol, pihak lawan kerana keberanian mereka suka melawan dalam menegakkan keadilan demi agama dan tanah air.'

Bajau dan kumpulan yang sama telah menetap di pantai barat dan timur Sabah sejak beberapa ratus tahun dan diiktiraf sebagai penduduk asli dan antara bumiputera terbesar di negeri Ѕabah dan sekitarnya. Mereka bekerja sebagai petani dan nelayan di persisiran pantai barat di samping menunggang kuda dan Bajau di Pantai Timur Ѕabah sebagai nelayan dan penyelam yang mahir.

Bangsa Bajau Semporna cukup terkenal dunia pelayaran - Lepa:




Bajau Kudat adalah kumpulan beberapa sub-etnik bajau yang bergabung dan menuturkan bahasa yang sama serta mengongsi budaya dan adat resam yang sama. Bajau Kudat yang asli adalah gabungan daripada sub etnik bajau iaitu etnik suku Banadan,Danauan serta Κagayan dengan etnik suku orang Suluk . Oleh itu Bajau Kudat yang asli menuturkan kedua-dua bahasa iaitu Bahasa Bajau Banadan dan Bahasa Suluk sebagai bahasa harian mereka dan mereka juga dikenali sebagai Bajau.Bajau Kudat kadang kala dikenali juga dengan panggilan Bannaran atau Dannawan atau Samah atau Bajau di kalangan kelompok-kelompok Bajau yang lain.Manakala suku bangsa lain di daerah Kudat seperti Suku Brunei, Suku Bajau Samah, Suku Orang Sungai, Suku Rungus dan Suku Tambanuo yang mendiami kawasan Kudat memanggil orang-orang Bajau Kudat sebagai Bajau. Oleh itu, orang-orang Bajau Kudat agak unik kerana mengongsi bangsa,bahasa,budaya dan adat resam suku kaum Bajau dan Suluk dan dari etnik Bajau yang lain. Keadaan ini disebabkan adanya asimilasi antara dua suku bangsa ini yang akhirnya menghasilkan Bajau Kudat.
Petempatan utama Bajau Kudat dan Suluk Kudat ini ialah di Kampung Limau-Limauan ( pada masa sebelum penjajahan British Limau-Limauan adalah ibu negeri dan Pusat Pentadbiran Kerajaan Bajau Kudat dibawah pemerintahan Maharajah Untung Haji Abdul Rahimmoyang kepada Tun Datu Mustapha Bin Datu Harun dan juga Tuan Guru kepada Datu Paduka Mat Salleh), Kampung Talaga ( Pusat Kekuasaan Bajau Kudat sebelum bertukar ke Limau-Limauan ), Kampung Parapat Laut ( Pecahan daripada Kampung Limau-LImauan ), Kampung Landung Ayang Laut, Kampung Tanjung Kapor, Kampung Membatu Laut, Kampung Liwatan, Kampung Milau, Kampung Tampakan, Kampung Batu Putih dan beberapa perkampungan lain.
Bajau Kudat adalah Suku Bajau yang agak unik. Mereka menggunakan seratus peratus (100%) istilah dan bahasa Banarran-Ѕuluk dalam kebudayaan, adat resam dan persuratan mereka. Dokumen lama ditulis dalam tulisan bajau dan Suluk. Semua sebutan, huruf, istilah, tulisan,gaya lagu bacaan dan kaedah pengajian al Quran adalah menggunakan bahasa Аrab dan jawi Вajau-Suluk kuno. Semua istilah Nikah Kahwin dan pertunangan adalah menggunakan bahasa Βajau dan Suluk Kuno dan bercampur dengan bahasa Melayu lama. Istilah-istilah seperti "Turul Taimah"( Istilah yang seerti dengan "JAWAPAN PENERIMAAN LAMARAN" ) dan "Muka Laung"( BUKA MULUT dalam bahasa Melayu Sabah ) adalah contoh istilah Bahasa Suluk Kuno yang digunakan dalam majlis dan adat pertunangan. Manakala istilah "Mahanda" adalah dari bahasa Bajau yang bererti "Meminang". Istilah "Tampan Maru" pula adalah istilah bahasa Bajau yang digunakan oleh kaum Bajau Kudat yang bererti "Denda akibat pelanggaran satu-satu adat pertunganan atau perkahwinan.Istilah seperti Akat Nika, Mas Kawin dan Tunang adalah berasal dari Bahasa Melayu.Pasangan pengantin Bajau-Suluk atau Bajau Kudat ini selalunya akan diarak menggunakan USUNGAN seperti seorang raja dan permaisuri.Keberangkatan dan ketibaan pengantin selalunya diiringi dengan irama TITIK PALANG NGAN dan irama TITIK SAMBUTAN.Keberangkatan dan ketibaan pengantin atau pasangan pengantin juga akan diiringi dengan bunyi tembakan senapang selalunya tujuh das atau sembilan das bergantung kepada status-quo keluarga pengantin.Keberangkatan pengantin yang diarak akan dialu-alukan dengan syair tradisi dalam bahasa Suluk yang dikenali sebagai KALANGAN dan panji-panji berwarna Merah yang dikenali sebagai PANJI dan SAMBULAYANG dengan kumpulan muzik tradisional akan turut sama menyertai rombongan pengantin.
Orang-orang lama Bajau Kudat hampir keseluruhannya mengakui dan mendakwa bahawa nenek moyang meraka adalah berasal daripada keturunan manusia yang lahir dari ruas bambu atau dikenali sebagai bambu "Kayawan".Berdasarkan kajian, satu-satunya manusia di Kepulauan Borneo dan Sulu yang diakui dalam Tarsila Kesultanan Sulu sebagai keluar dari ruas bambu ialah TUAN MASAIK iaitu Raja Islam Sulu yang pertama ( memerintah dan mengasaskan Kerajaan Sulu Islam pada tahun 1280 Masehi sebelum Sultan Syariful Hashim menyatukan dan mendirikan Kesultanan Sulu pada tahun 1450 Masehi ) yang berasal dari Tanah Besar Borneo Utara ( Sabah ) yang telah berkahwin dengan PUTERI RAJA SIPAD dari Suku Kaum Dayak Buranun ( nenek moyang suku kaum Tausug atau Suk).
Antara tokoh-tokoh ternama di Sabah yang pancar keturunannya dari Bajau Kudat ialah Tun Datu Mustapha Datu Harun, Datu Aliuddin Datu Harun, Datu Salam Datu Harun, Maharajah Panglima Untung Haji Abdul Rahim, Shariff Osman, Shariff Ligaddung ( Digadung ), Datu Amir Kahar, Datu Abdul Hamid dan Datu Khalil Jamalul dan ramai lagi.
Satu lagi ciri unik Bajau Kudat ialah rata-rata golongan tua dari suku kaum ini mampu menuturkan lebih dari dua bahasa persukuan di Sabah. Mereka mampu bercakap dengan fasih dan lancar bahasa suku-suku sub etnik Bajau seperti bahasa Banadan, bahasa Kagayan, bahasa Bajau Samah ( Bajau Kota Belud ) dan bahasa-bahasa etnik suku Suluk, Sungai dan Rungus.
Pekerjaan utama golongan tua dari suku kaum ini ialah sebagai nelayan dan petani padi bukit. Walau bagaimana pun, generasi Bajau Kudat pada hari ini majoritinya bekerja di sektor kerajaan dan swasta.
Pada masa sekarang Bajau Kudat masih lagi mengekalkan beberapa adat dan budaya lama yang telah diamalkan turun-temurun seperti adat MAG GUNTING atau bergunting beramai-ramai di masjid dan adat MAG DUAAH iaitu kenduri arwah beramai-ramai satu kampung di masjid pada masa Hari Raya Aidl Fitri dan Aidil Adha. Budaya MAG GUNTING agak unik kerana setiap anak Bajau-Suluk yang baru lahir akan diadakan upacara bergunting rambut di masjid setiap kali masa hari raya atau dua kali setahun sahaja. Kanak-kanak lelaki yang akan digunting rambutnya akan diarak ke masjid bersama-sama dengan sebuah REPLIKA JONG atau Kapal Layar yang dihias manakala anak perempuan pula akan diarak disertai dengan sebuah REPLIKA MAHLIGAI.Kedua-dua replika ini iaitu JONG dan MAHLIGAI adalah melambangkan seorang Putera Raja dan seorang Puteri Raja. JONG adalah kenderaan Putera Raja manakala Mahligai tempat tinggal seorang Puteri Raja.
Senjata tradisi Bajau Kudat ialah BARUNG dan BAKUKU serta KALIS. Barung,Bakuku dan Kalis adalah senjata tempur dan selalunya ia menjadi senjata pusaka keturunan. Barung menjadi senjata kebanggan bagi orang-orang Bajau Kudat.
Bajau Kudat telah mendiami perairan Teluk Marudu (Kudat) sekurang-kurangnya seawal abad ke-13 lagi.Sarjana Barat mengakui bahawa kedatangan agaama islam ke Palawan dan Balabak( sekarang ini Filipina) adalah dari Teluk Marudu ( Kudat ) dan Teluk Darvel ( Segama-Lahad Datu).
Ahli Pelayaran Belanda Van N Hort yang telah memetakaan daerah MARUDO dalam peta dunia pelayarannnya pada tahun 1595 mengakui adanya petempatan dan pelabuhan di Teluk Marudu. Perkataan Marudu adalah berasal dari Bahasa Bajau Kudat iaitu kata MA ILU DU ATAU MARU DU yang bererti "DI SITU-SITU JUGA".Daerah Marudu adalah daerah tertua di Sabah yang dipetakan oleh sarjana Barat selain daerah Kinabatangan.Dalam Peta Belanda Melaka 1602 pula, nama wilayah Marudo dan Api-Api ( Kota Kinabalu pada masa ini )telahpun dipetakan sebagai dua kawasan yang didiami oleh dua sub etnik orang Bajo atau Bajau.
Alat muzik tradisoinal Bajau Kudat adalah Kulintangan, gong, tambul ( Tambur), gabbang (dibuat daripada bambu) dan biola. Uniknya, Bajau Kudat ini mempunyai beberapa jenis irama lagu tradisional yang dimainkan menggunakan kulintangan, gong dan tambul. Antara irama atau dikenali sebagai JINIS TITIK yang selalu dimainkan ialah TITIK SAMAH, TITIK MANGKABUNG, TITIK KAGAYAN, TITIK SUK (Irama peperangan atau Silat), TITIK TA ( KITA ),TADDOH HABAH (irama percintaan),TITIK KABLITAN (irama muzik yang diiringi tarian IGAL) dan TITIK PALANGNGAN ( irama pengantin berangkat dan tiba).
Kaum perempuan Bajau Kudat terkenal dengan tenunan kain PIS iaitu kain dastar ikat kepala. Kain Pis yang ditenun selalunya akan dijual kepada suku kaum Rungus yang selalunya bertaraf sekurang-kurangnya Ketua Kaum. Ini disebabkan kain PIS ini harganya mahal dan pada masa dahulu ianya dijual secara tukaran barang sama ada ditukar dengan barangan tembaga seperti gong dan gadur ataupun dengan kerbau.Kadang kala ditukar dengan padi. Sehelai kain Pis boleh mencecah harga tukaran 2 biji gong atau 2 ekor kerbau atau 10 karung padi bergantung kepada motif tenunan. Terdapat beberapa jenis motif tenunan antaranya ialah corak naga (paling mahal), burung merak dan awan larat yang mana ada nama-namanya tersendiri di kalangan ahli tenun Bajau Κudat.
Di Kudat juga terdapat suku Bajau Samah yang merupakan penghijarah dari daerah Kota belud dan Daerah Tuaran. Mereka telah datang ke daerah Kudat semasa dan selepas pendudukan Jepun untuk mencari perlindungan.Kecuali Bajau Samah di perkampungan Sebayan mereka adalah penduduk awal bajau samah di daerah Kudat.
Selain daripada itu terdapat juga suku kaum yang dikenali sebagai BAJAU LAUT.Suku kaum ini agak unik kerana bahasanya sama seratus peratus dengan Bajau Samah di Kota Belud tetapi bahasanya agak kasar. Misalnya ikan disebuat DAEYANG( Bajau Laut ) DEENG ( Bajau Kota Belud/Samah Milo Pink disebut Milo Piang dan sebagainya. Bajau Laut ini mendiami Kg Tanjung Kapur Kudat, Kg Landung Ayang ( KUDAT), Kg Meringgan, Kg Mengkubau, Kg Mapan-mapan, Kg Tanjung Piring, Kg Kanibongan ( Di daerah Pitas ) dan Kg Marudu Laut di Kota Marudu. Suku Kaum ini dikenali juga sebagai Bajau PALONGGOH di Kota Marudu. Mereka juga dikenali sebagai BANGSA LA AYUN yang menurut lagendanya adalah suku kaum dari keturunan orang yang memancung kepala Saidina Hussin di Padang Karbala. Kononya nenek moyang bangsa La ayun mempunyai empat puting susu sebagai sumpahan kepada keturunan mereka.Orang-orang Bajau dan Suluk di Kudat juga mengenali suku ini dengan gelaran SAMAH BURUAN.

Bangsa Bajau Kota Belud cukup terkenal dengan Penunggang Kuda bagaikan seorang Pemimpin sedang berperang, Panglima, Penghulu dan ulama




Orang Bajau boleh dibahagikan kepada Orang Bajau Pantai Barat yang menetap di sekitar Putatan, Tuaran, Kota Belud dan Papar. Manakala Orang Bajau Pantai Τimur pula menetap di sekitar Κudat, Ѕandakan, Lahad Datu, Κunak, Semporna dan Tawau.
Bajau yang berasal daripada daerah Kota Belud dan Tuaran pula amat di kenali di seluruh dunia sebagai 'cowboy of the east' kerana kemahiran dan kecekapan mereka dalam menunggang kuda yang tiada tolok tandingnya. Selain mereka pakar dalam pembuatan pedang Samurai yang dipercayai di perturunkan oleh tentera Jepun suatu ketika dahulu kepada kaum Bajau dan Irranun di Kota Belud. Pedang Samurai daripada Kota Belud amat tinggi kualiti dan senang di dapati sehinggakan menjadi tarikan dan cenderamata yang harus di beli oleh para pengunjung yang singgah di Kota Belud.
Orang Bajau merupakan penyelam dan pengutip hasil laut mahir yang menggunakan cara penangkapan tradisional pada masa dahulu. Di Sabah, mereka adalah nelayan yang tinggal di daerah Ѕemporna sementara di daerah Kota Belud, Papar dan Tuaran mereka adalah nelayan, pesawah dan penternak serta bercucuk tanam. Bajau Кota Вelud pula digelar “Koboi Sabah” mini kerana Bajau sudah lama terkenal dengan penunggang kuda dan menjadi pesawah serta penternak.Pada masa yang sama juga,masyarakat Bajau Pantai Timur Sabah khasnya dari daerah Semporna juga mendapat gelaran istimewa dan unik seperti “sea gypsies,Panglima Dilaut,Pelaut dan Pelayar Terunggul.”
Orang Bajau Pantai Вarat adalah berbeza dengan Orang Bajau Рantai Timur khususnya daerah Lahad Datu dan Semporna. Dari segi pertuturan, pakaian tradisi, adat resam dan budaya hidup adalah sangat berbeza. Masyarakat Bajau Pantai Barat banyak yang terlibat dengan pertanian sawah padi manakala masyarakat Bajau Semporna terkenal dengan kegiatan penangkapan hasil laut.

Tarian Dalling-Dalling Βajau dan Іgal Іgal Вajau

Tarian ini sangat dipelihara oleh masyarakat Bajau di Selatan Filipina. Kesedaran kepada kepentingan memelihara budaya bangsa untuk menjamin kelangsungan budaya bangsa berkenaan telah mendorong masyarakat Bajau di Borneo Utara (Sabah) khususnya di Semporna bangkit dan mengembangkan seni tarian dallinhg-dalling di kalangan generasi muda. Ini dilakukan dengan membawa dalling-dalling dan Іgal Іgal ke majlis formal khususnya Regatta Lepa Semporna.





Pada tahun 1998, Badan Galak Pusaka telah bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Sandakan untuk menganjurkan Pertandingan Dalling-dalling Sempena Sambutan Hari Jadi Tuan Yang Terutama, Yang Dipertuan Negeri Sabah, yang pada masa itu disandang oleh Tun Sakaran Dandai. Semenjak itu, tarian dalling-dalling turut mula dikenali di daerah Sandakan dan Ѕemporna.
Perkataan dalling-dalling adalah kata ganda daripada perkataan Sinamah (bahasa Bajau) 'dalling' yang bermaksud gerakan seluruh badan mengikut rentak tertentu. Ini adalah tarian hiburan di majlis keramaian khususnya majlis perkahwinan. Tarian daling-daling diiringi oleh pantun yang dinyanyikan oleh seorang penyanyi atau dua penyanyi.Secara tradisionalnya penyanyi yang menyampaikan nyanyian (disebut kalangan dalam Sinamah) adalah pemuzik. Alat muzik yang digunakan pula dipanggil gabbang. Kadang-kadang pemuzik dibantu oleh seorang penyanyi lain yang lazimnya wanita, terutama apabila aturcara majlis dijangka mengambil masa yang lama yang kadang-kadang mencecah semalaman.
Kajian awal oleh Badan Galak Pusaka mendapati, tarian dalling-dalling akan semakin rancak dan menghiburkan apabila ia ditarikan oleh penari secara berpasangan dan kedua-dua penyanyi dalam keadaan 'magbono' kalangan atau berbalas pantun. Dalam keadaan sedemikian, semua watak (penyanyi, pemuzik dan penari) akan menunjukkan kepakaran masing-masing untuk diiktiraf sebagai yang terbaik oleh hadirin.

Tarian Limbai & Runsai (Bajau Kota Belud)

Tarian Limbai merupakan satu tarian traditional suku kaum Bajau KOTA BELUD. Tarian Limbai biasanya ditarikan ketika menyambut ketibaan pengantin lelaki yang diarak ke rumah pengantin perempuan.
Sebaik sahaja rombongan pengantin sampai, perarakan dihentikan sementara, lalu tarian Limbai dipersembahkan di hadapan pengantin. Ia merupakan upacara khas sebagai isyarat menjemput pengantin lelaki naik ke rumah untuk melakukan istiadat ijab qabul yakni pernikahan.




Tarian limbai di iringi oleh irama kulin tangan.Kumpulan muzik ini mengandungi enam orang pemain yang diketuai oleh seorang wanita yang memainkan kulintangan, dua orang pemukul gendang, dua orang pemain gong dan seorang pemain bebandil.Tarian ini mengiringi anggota-anggota rombongan pengantin lelaki naik ke rumah. Penari-penari melambai-lambaikan selendang mereka sebagai lambang mengundang dan mengucapkan selamat datang.
Selain tarian Limbai Runsai juga merupakan tarian traditional suku kaum bajau di Kota Belud.Runsai selalu di tarikan di majlis perkhawinan pada sebelah malam.Tarian ini memerlukan antara enam hingga lapan onang penari termasuk dua orang wanita. Tarian ini menjadi bertambah meriah apabila diserikan dengan kalang iaitu pantun dua kerat yang dijual dan dibeli oleh penari lelaki dan perempuan.

Tradisional dan Pakaian Wanita Budaya Bajau Semporna








Tradisional Budaya Lelaki Bajau Semporna



Tradisional dan Pakaian Wanita Budaya Bajau Kudat ataupun Kota Belud





Tradisional Budaya Lelaki Bajau Kudat ataupun Bajau Kota Belud




Rujukan:
-Photography oleh Hadikedidi - Semasa Regatta Lepa di Semporna dan Sambutan Keamatan di Kota Kinabalu Di Sabah  
-Photography oleh Peter
-Photography oleh Louis Pang
-Tradisonal kebudayan Sabah
-Buku 'Sejarah Asal-Usul Bajau - Serumpun di Nusantara' karya al-Hindi
-Buku Kajian Budaya dan Masyarakat Di Malaysia - disusun oleh Prof Mohd Taib Osman dan Wan Kadir Yusoff
-Buku Tausug Dan Kesultanan Sulu oleh Asreemoro - Penulis dari Sandakan
-Buku Alat Muzik - Tradisional Dalam Masyarakat - Melayu Di Malaysia oleh Nik Mustapha Bin Nik Mohd. Salleh
terbit dari Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara(JKKN) 

4 ulasan:

  1. good entry..tp kan encik, leh letak follower awk dkt atas..hehe.. org x nmpk sgt.. im 1st follow u.. :)

    BalasPadam
  2. Thank you, hiettah ... I felt the sweet comments hiettah hopefully we stay in touch in the exchange of information and opinions are very useful to us.

    BalasPadam
  3. kalau boleh letaklah ayat dalam perenggan supaya senang dibaca dan mudah untuk d fahami. sebab ayat ni trlalu pnjang tidak lah org bosan untuk baca. maaf aq cuma mau bagi suggestion. :)

    BalasPadam