Jumaat, 29 April 2011

Membina generasi pewaris yang 
bertaraf tinggi di Dearah Semporna
Dari penulis 

Di saat kita mengharungi pergelutan zaman yang semakin pantas berubah dan menjurus  ke arah kehidupan kebendaan yang begitu dahsyat, kita tidak seharusnya lalai dalam memberikan asuhan dan bimbingan sewajarnya kepada generasi muda di daerah Semporna. Menyedia dan mencorakkan daya fikir serta mengasuh mereka dengan kefahaman Islam yang betul adalah satu keperluan yang mesti dilakukan kerana ia ternyata dapat memberikan kesan mendalam kepada golongan ini. Hal ini berdasarkan kepada keupayaan golongan muda untuk mencerap dengan mudah apa sahaja bentuk pendidikan yang diberikan sama ada yang baik ataupun sebaliknya. Oleh itu bentuk pendidikan yang bakal diserapkan ke dalam akal fikiran golongan ini perlulah sesuatu yang berupaya membentuk pemikiran yang sihat dan mampu menyediakan mereka sebagai pelapis bumi Malaysia ini.

Usaha ini juga pastinya menjadi matlamat untuk mewujudkan satu generasi yang cintakan ilmu yang seterusnya melahirkan golongan pemikir dan juga pewaris kepimpinan yang bertaraf tinggi. Cita-cita yang sebegini pastinya suatu yang sukar untuk dicapai terutamanya dalam suasana kehidupan masa kini yang begitu mencabar, namun ia bukanlah suatu yang mustahil. Sebenarnya hasrat untuk memiliki dan melahirkan generasi yang hebat bukanlah perkara baru, malah ia pernah disuarakan oleh Sayidina Umar Al- Khattab suatu ketika dahulu. Pernah ketika bersama-sama dengan para sahabat yang lain Umar bertanya kepada para sahabatnya apakah yang diinginkan oleh mereka. Lalu antara mereka ada yang bercitacita untuk memiliki sejumlah harta yang banyak, dan dengan harta itu dapat mereka sedekah dan belanjakan pada jalan Allah. Namun keinginan Umar jauh berbeza daripada para sahabatnya, apabila beliau mengatakan: “Aku inginkan sekumpulan manusia yang hebat seperti Abu Ubaydah Al-Jarrah, Muaz Ibn Jabal dan Salim Maula Abi Hudhaifah untuk membantu aku mendaulatkan agama Allah.”

 Ternyata apa yang diungkapkan oleh Umar ini merupakan satu pengertian besar tentang pentingnya membina generasi yang bertaraf mulia untuk memikul dan melaksanakan impian dan cita-cita umat Islam. Lembaran sejarah juga telah memperlihatkan kepada kita bagaimana baginda Rasulullah s.a.w. sendiri dalam rangka usahanya menjayakan risalah Islam telah melaksanakan usaha pembinaan satu kelompok manusia yang menjadi teras utama sebagai benteng dan tulang belakang, pembentukan umat yang baru. Kelompok manusia inilah yang dinamakan oleh Syed Qutb sebagai ‘generasi al-Quran yang unik’, iaitu kelompok teras yang mulia dan telah menjayakan segala bentuk perancangan yang dibuat oleh baginda Rasulullah s.a.w. Golongan teras bertaraf mulia ini telah melalui pendidikan dan penghayatan nilai-nilai dinamik al-Quran yang ditampil dan diterjemahkan dalam setiap ciri kehidupan Rasulullah s.a.w. sebagai pendidik serta pembimbing kepada generasi al-Quran yang unik ini. Sebagai pemimpin dan juga pendidik kepada pengikutnya, Rasulullah s.a.w. berupaya mengenali setiap potensi yang ada pada setiap diri pengikutnya, dan potensi ini digilap dan diasuh secukupnya oleh Baginda sehingga daripada generasi inilah lahirnya peribadiperibadi agung yang masih sesuai untuk diteladani hingga ke hari ini.

Di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w. semua orang mendapat peluang untuk mengembangkan potensi masing-masing, termasuk mereka yang pernah memusuhi Baginda sebelum memeluk Islam seperti Khalid Al-Walid dan Umar Al-Khattab sendiri. Tidak ada di kalangan umat Islam yang dianaktirikan atau amalan diskriminasi dipraktikkan, malah setiap pengikut Rasulullah s.a.w. dianggap sebagai ‘aset’ yang sangat bernilai. Suasana kepimpinan Rasulullah s.a.w. juga memperlihatkan kepentingan amalan budaya baik yang menyeluruh dan meluas di dalam masyarakat Islam ketika itu kerana taraf kebaikan tidak mengenal rupa paras, warna kulit, bangsa, umur atau keturunan. Begitulah juga hasrat dan cita-cita kita hari ini untuk melihat lahirnya golongan muda Islam yang bertaraf mulia memimpin masyarakat masa kini. Di Malaysia, jumlah penduduk yang boleh disenaraikan sebagai golongan muda membentuk lebih 40 peratus daripada penduduk negara. Ini merupakan satu jumlah yang besar. 

Sekiranya separuh daripada jumlah ini dapat berperanan sebagai golongan yang bertaraf baik, itu sudah memadai untuk Malaysia menjadi sebuah negara yang cukup kuat di persada antarabangsa. Namun dengan jumlah yang ramai tetapi tanpa taraf kemuliaan yang diharapkan tidak akan membawa kita ke mana-mana. Bahkan kita telah diingatkan oleh Allah s.w.t. bahawa yang baik dan mulia itu tidak sama dengan yang buruk walaupun yang buruk itu kelihatan banyak, sebagaimana firman-Nya dalam surah Al- Maidah, ayat 100.
 Justeru, pembinaan golongan muda yang bertaraf tinggi yang akan mewarisi tanah air ini sewajarnya diberi perhatian utama dalam agenda pembangunan negara. Pembangunan modal insan seperti mana yang diuar-uarkan kebelakangan ini oleh pemerintah mestilah diberikan perhatian yang wajar dan kesungguhan yang tinggi. Tanpa kesungguhan yang jitu maka tidak mungkin keinginan kita untuk melihat golongan pewaris yang kuat dan berkemampuan lahir untuk menghadapi cabaran hari depan. Kejayaan membina masa depan yang cemerlang, gemilang dan terbilang lebih banyak bergantung kepada keupayaan generasi masa kini membina kecemerlangan generasi pewaris tersebut. Maka dengan itu, langkah-langkah dan usaha pembinaan generasi pewaris ini perlulah diberi perhatian dengan lebih gigih lagi terutamanya melengkapkan mereka dengan ilmu-ilmu yang betul dan sesuai dengan perkembangan zaman. Kewujudan generasi ilmuwan yang mulia dengan kekuatan daya saing yang tinggi sudah pasti akan menghasilkan kesan yang baik dalam pembentukan generasi pewaris.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan